Semalam, melalui akhbar Utusan Malaysia, bahagian forum, saya tertarik dengan satu artikel tentang beban tugas guru. Mungkin ada yang merasakan guru beruntung kerana bekerja 6-7 jam sehari berbanding penjawat awam yang bertugas di pejabat dan mendapat cuti penggal yang menjangkau 3 bulan secara kolektif.
Apa yang menarik perhatian saya ialah apabila penghatar artikel tersebut mempersoalkan arahan yang menambah beban tugas guru. Saya cuma ingin menambah beberapa perkara untuk kita renungkan...
- Apabila jenayah bertambah, sekolah perlu menubuhkan Kelab Anti Jenayah. Penglibatan murid hanyalah murid-murid yang tidak melakukan jenayah langsung. Apakah tercapai objektif?
- Apabila penagihan dadah berleluasa, sekolah perlu tubuhkan Kelab Anti Dadah. Aktiviti seperti Bilik PPDa, Jambori SLAD dan pelbagai lagi di adakan. Siapa yang terlibat? Murid-murid yang sememangnya bencikan dadah, malah tidak merokok pun. Murid yang mula berjinak-jinak dengan rokok, tidak dilibatkan secara langsung.
- Apabila rakyat Malaysia sudah tidak sopan, matapelajaran Sivik dan Kewaganegaraan diperkenalkan. Menambah koleksi buku teks, beban mengajar dan pelbagai lagi. Adakah matapelajaran Pendidikan Islam dan Moral sudah tiada sivik? Bukankah setiap matapelajaran ada nilai murini yang diterapkan? Bukankah semua matapelajaran merentasi matapelajaran lain?
Contoh di atas adalah beberapa contoh bagaimana apabila sesuatu perkara berlaku di Malaysia, ia akan dilaksanakan pencegahan diperingkat sekolah. Adakah ia berkesan? Pukul anak, sindir menantu? Adakah pada masa akan datang, wujud pula Kelab Anti Rasuah? Kelab Anti Samseng Jalanan? Tak mustahil akan berlaku. Sesuatu yang perlu diketahui, kebanyakan pelaksanaan apa yang tertulis di atas adalah sekadar mencapai kuantiti, bukan kualiti.
Guru hanyalah pelaksana dan penterjemah Dasar. Dasar dibentuk oleh mereka yang duduk di kerusi empuk dan melihat sekolah dari atas kertas laporan dan statistik semata-mata...
.