17 Mei 2009

Catatan 17 : Wira yang Terabai

Hari ini saya melihat berita di EDUWEBTV. Berita tentang sambutan hari guru. Berita utama memaparkan catatan blog YAB Perdana Menteri Malaysia tentang guru. Antara petikan catatan tersebut ;

"Pada saya guru adalah antara wira yang paling terabai di dalam negara kita"
http://www.1malaysia.com.my/index.php?option=com_jb2&PostID=67&view=post&Itemid=60

Adakah benar? Saya tidak mahu menjawabnya. Anda boleh menilainya.

Hari Guru seperti biasa disambut oleh guru sendiri. Guru akan syok sendiri. Amat kurang pihak luar yang akan meraikan guru. Guru akan raikan sesama sendiri. Malah ada sekolah, hari guru disambut bersama ibubapa/penjaga. Guru akan buat aktiviti untuk ibubapa/penjaga bersama murid. Jadi, siapa yang patut raikan hari guru? Biarlah. Gurukan diibarat seperti lilin. Membakar diri untuk orang lain.

Sebenarnya, selain guru, kakitangan bukan akademik atau staf adalah penyokong kejayaan sistem pendidikan kita. Saya rasa kesemua sekolah akan libatkan mereka dalam sambutan hari guru. Mereka ini terdiri dari pembantu tadbir, pembantu pejabat, pembantu makmal, pekerja kebersihan, pengawal keselamatan dan lain-lain jawatan bukan akademik. Walaupun mereka bukan guru, tetapi jasa mereka juga cukup besar. Mereka juga adalah "wira yang terabai".

Saya sendiri menerima ucapan sms hanya daripada kalangan guru-guru / kakitangan pendidikan sahaja. Hanya melalui blog ini, ada juga pihak luar mengutus ucapan. Terima kasih saya ucapkan. Saya amat menghargainya.

Pagi tadi, kebetulan saya ke sebuah pasaraya di Bandar Jengka. UM Bandar Jengka. Anda boleh cari jika berkesempatan. Di hadapan pasaraya berkenaan, sebuah kain pemidang besar tertulis mengucapkan Selamat Hari Guru. Satu frasa berbahasa Inggeris yang memuji peranan guru turut ditulis. Saya agak terkesima, malah ramai pengunjung saya lihat turut membaca dan kagum dengan usaha pasaraya ini. Amat jarang pihak yang berorientasikan komersil akan berbuat begini. Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada pasaraya ini.


"Guru bukan hanya semata-mata bertujuan untuk mengajar kita membuat kira-kira tolak atau campur, atau untuk membaca dan menulis dalam pelbagai bahasa, atau pun untuk menghafal tarikh-tarikh penting dalam sejarah kita.Kehadiran mereka adalah untuk mendidik kita bagaimana untuk menjadi kreatif, menjelaskan pandangan diri kita dengan baik dan memahami peranan dan potensi diri kita di dalam masyarakat."
YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abd Razak.
15 Mei 2009 (blog 1Malaysia)
.
.
.
rentaka
.

16 Mei 2009

Catatan 16 : 16 Mei 2009 - Selamat Hari Guru

TERIMA KASIH CIKGU
( Dendang Si Alai )

Hari pertama masuk sekolah
Tak pandai membaca mengira
Tetapi cikgu begitu tabah
Mengajar kami sungguh-sungguh
.
Bermula a, b, c sampai z
Hitung satu sampai sepuluh
Baru ejaan dan kira-kira
Kami belajar dengan lancar
.
Berkat kesabaran guru bijaksana
Memberi berbagai petunjuk
Hari demi hari
Kami pun mengerti
.
Pelajaran nilainya tinggi
Kami ingat setiap masa
Jasa guru mendidik bangsa
Sambutlah kini ucapan kami
Terima kasih cikgu !
.
.
.
******************************

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua cikgu yang pernah mengajar dan mendidik saya sejak kecil hingga ke hari ini. Jika ingin disenaraikan, mungkin tak mencukupi ruang ini. Bagi guru-guru muslim yang telah pergi terlebih dahulu, Al Fatihah saya sampaikan buat mereka.

Hari ini saya juga menerima berpuluh-puluh sms mengucapkan Selamat Hari Guru.
Terima kasih atas tanda ingatan.

Kepada guru-guru di Malaysia, Selamat Hari Guru, Terima Kasih Cikgu...


dengan ingatan tulus ikhlas
rentaka
.
.
.
...

15 Mei 2009

Catatan 15 : Guru oh Guru

Guru Oh Guru

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
.
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979
.
.
.
rentaka : Buat insan-insan bergelar cikgu, Selamat Hari Guru, Terima kasih Cikgu ! ...
.

12 Mei 2009

Catatan 14 : Guru Berijazah

Kementerian Pelajaran Malaysia memandang serius terhadap keperluan menyediakan guru-guru yang berkualiti tinggi. Oleh itu, terdapat pelbagai program yang telah dan sedang dijalankan menuju matlamat tersebut. Dengan kata mudah, secara peribadi, saya menggelar program ini sebagai ;

1. Men'guru'kan siswazah - Program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI)
2. Men'siswazah'kan guru - Pelbagai Kursus Sepenuh Masa atau PJJ
3. Men'guru siswazah'kan pelajar - Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP )di IPG

Ketiga-tiga program di atas bagi saya bagus. Ia menuju matlamat yang sama. Di kampus, ketiga-tiga kumpulan ini bertembung. KPLI dengan pengalaman di universiti, guru dengan pengalaman di sekolah dan pelajar PISMP yang sentiasa bersedia untuk menimba pengetahuan serta membina pengalaman.

Sebenarnya proses menjadikan seseorang kepada manusia bergelar guru amat kompleks. Tanpa disedari, seseorang itu akan secara perlahan-lahan akan belajar untuk mengajar. Penekanan nilai dan sikap secara tidak langsung dalam kuliah dan aktiviti akan menjadikan mereka lebih bersedia untuk bergelar pendidik. Untuk makluman, proses transformasi dari seorang pelajar kepada seorang guru berijazah mengambil masa 5 1/2 tahun. 5 1/2 tahun berada di maktab (kini digelar IPGM - Institut Perguruan Guru Malaysia) bukan tempoh yang singkat. Pelbagai proses dan latihan akan dilalui mereka agar mudah bersosialisasi ketika berada di sekolah.

Bagi program KPLI, ia pernah dipertikai oleh guru-guru sendiri apabila wujud golongan yang menjadi guru hanya kerana tiada kerja. Namun, keadaan ini semakin terhakis apabila KPM melalui Bahagian Pendidikan Guru (BPG) semakin ketat menapis permohonan siswazah menjadi guru. Jika seseorang itu hanya memohon KPLI hanya kerana mengejar gaji yang lumayan serta pencen, memang akan terasa beban. Minat dan dedikasi terhadap tugas seorang guru amat penting. Tugas guru tidak tehad kepada mengajar, tetapi mendidik. Tempoh 1 tahun di maktab (termasuk cuti dan latihan mengajar) hanya cukup untuk menyediakan mereka bergelar guru, bukannya pendidik.Fikirkanlah...

KPM juga serius dengan matlamat untuk mencapai 50% guru di sekolah rendah adalah berijazah menjelang tahun2010. Hanya 7 bulan lagi untuk menjejak 2010. Adakah telah tercapai? Jawapannya hampir tercapai. Walaupun belum berijazah, hampir 80% guru sekolah rendah dalam proses ke arah tersebut.

Harapan anak bangsa menggunung terhadap seorang guru. Guru diibaratkan lampu jalan, menerangi kegelapan perjalanan seorang manusia menuju dewasa dan kematangan. Sepanjang perjalanannya, lampu-lampu jalan ini akan sentiasa bergilir-gilir membantunya bergerak dengan lancar. Jangan bimbang, kerana kerajaan telah membayar bil lampu jalan tersebut. Apa yang penting, manusia itu jangan berhenti melangkah sehingga tiba ke destinasinya.

Buat guru-guru, ingatlah, panggilan keramat 'CIKGU', akan kekal walaupun jasad dan nyawa telah terpisah...

Terima kasih cikgu,
Selamat Hari Guru 2009 - Guru Pembina Negara Bangsa
http://www.moe.gov.my/hariguru

rentaka : saya pernah membaca ulasan pembaca buku tulisan Allahyarham Cikgu Dato' Haji Razali Bin Ismail, bekas Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, bertajuk "Menjejaki Wira yang Tidak Disyairkan". Tulisan Allahyarham mengenai perjuangan dan ketulusan hati serta budi guru-guru di pedalaman Sarawak. Allahyarham menulis berdasarkan lawatannya ke sekolah-sekolah pedalaman Sarawak pada 28 Julai hingga 1 Ogos 2008. Allahyarham menyusuri sungai yang terkenal dengan mitos 'Bujang Senang', melalui denai-denai hutan, hanya kerana ingin mengucapkan "terima kasih cikgu" kepada guru-guru di pedalaman Sarawak. Hidupnya sebagai seorang guru, jiwanya tersemat jiwa guru dan matinya sebagai pemimpin golongan guru. Al Fatihah buat Allahyarham.

.

04 Mei 2009

Catatan 13 : Guru di Pedalaman

Saya menulis tentang isu ini kerana dicetuskan oleh pensyarah saya pagi tadi. Dalam kuliahnya, pensyarah tersebut ada membangkitkan bagaimana guru boleh meramal (target) pencapaian muridnya untuk UPSR sedangkan aplikasi statistik sebenar tidak digunakan. Baginya, guru begini adalah "guru yang tak berguna" dan patut di hantar ke Ulu Tembeling.

Saya tidak tahu pensyarah bertaraf Phd tersebut pernah menjadi guru sekolah rendah ataupun tidak. Untuk membuat unjuran ramalan pencapaian, biasanya sekolah menggunakan TOV sebagai satu petunjuk dan keputusan murid sentiasa dipantau dan perbaiki dalam setiap penilaian atau peperiksaan percubaan UPSR. Guru juga menggunakan pemerhatian 5 tahun terhadap murid tersebut selain perkembangan murid dalam kelas.

Berbalik kepada isu, adakah sekolah-sekolah pedalaman hanya layak menerima "guru yang tak berguna". Benarkah wujud kelompok guru yang tak berguna ini?

Di Pahang, ada sebilangan sekolah yang sukar dicapai kerana keadaan muka bumi. Sekolah-sekolah berkenaan berada di Pedalaman Lipis, Pedalaman Cameron Highlands, Pulau Tioman, Kuala Tahan dan Pedalaman Bera.

Sepanjang bertugas, saya pernah beberapa kali ke sekolah pedalaman, sama ada melalui jalan denai, jalan balak , menyusuri sungai atau meredah ombak. Kehadiran saya adalah kerana pebagai program terutama sebagai jurugambar rasmi lawatan kerja pegawai tertinggi KPM.

Paling kerap, sekolah-sekolah di lembah Kuala Tahan. Di situ terdapat sebuah sekolah rendah iaitu SK Kuala Tahan. Menyusuri sungai dengan bot kecil selama 1 jam boleh sampai ke SK Kampung Pagi, kemudian 1 jam lagi, akan tiba di SK Kuala Sat. Menambah 3-4 jam lagi perjalanan bot, akan tiba di SK Ulu Tembeling. Jika terus ke atas, menyusuri sungai 1 jam lagi akan tiba di SK Gusai dan SK Mat Daling.

Saya juga pernah mengikuti lawatan pegawai KPM di Pulau Tioman. Bermula di tempat penginapan di Salang, kami meredah ombak selama 1 jam dengan bot kecil di lautan terbuka untuk ke SK Juara (berada di sebelah timur Tioman - menghadap lautan antarabangsa). Kemudian kami meredah ombak lagi untuk ke SK Mukut yang berada di selatan Tioman. Akhirnya, berada kami di SK Tekek, bandar kecil untuk pulau ini. Lencun baju dengan tempias ombak yang memercik kedalam bot.

Melalui pemerhatian saya, guru-guru di pedalaman amat dedikasi dan komited dengan tugas mereka. Ini kerana mereka tinggal dalam persekitaran kampung itu sendiri dan biasanya dilayan bagai "bakal menantu". Di kawasan sebegini, sekolah adalah medan utama untuk pelbagai aktiviti. Tidak hairanlah, aktiviti kampung di buat di sekolah dan aktiviti sekolah dipenuhi orang kampung.

Jika sekolah-sekolah ini menjadi "recycle bin" bagi guru-guru yang tak berguna, bagaimana mereka mahu berkhidmat? Sepanjang pengalaman saya, jika guru-guru yang tak berguna ini di hantar ke kawasan pedalaman seperti ini, mereka tidak akan pergi melapor diri. Hanya guru yang benar-benar komited terhadap profesion mereka akan hadir dengan membawa bersama mereka angin pembaharuan dan kemajuan kepada anak-anak pedalaman ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri komited untuk merapatkan jurang pendidikan antara bandar, luar bandar dan pedalaman. Tidak hairanlah, sekolah-sekolah pedalaman sentiasa menjadi perhatian KPM dan agensi-agensi tertentu untuk di beri bantuan. Kemudahan seperti perpustakaan yang lengkap (ada sekolah pedalaman yang nisbah buku - seorang murid = 100 buku) dan capaian internet melalui perkhidmatan schoolnet (satelit). Selain itu, bantuan agensi swasta dan NGO sentiasa mencurah-curah ke sekolah-sekolah ini.

KPM juga menyediakan intensif khas kepada guru-guru pedalaman. Mereka dibayar elaun pedalaman (berdasarkan jarak). Mereka juga diberi keutamaan untuk menyambung pengajian dan pelbagai intensif lain.

Oleh itu, saya tidak faham kenapa seorang yang bergelar doktor (Phd) boleh berkata demikian, seolah-olah menongkah arus kemajuan yang dibina KPM. Sudahlah begitu, menurutnya, sistem peperiksaan di negara ini rendah martabatnya. Baginya, sistem di negara-negara barat lebih bagus dan efisyen.

Apapun, buat guru-guru, teruskan usaha murni anda semua. Abaikan mereka yang gemar memperlekehkan pendidikan di negara sendiri. Malah, mereka yang hebat juga lahir dari sistem pendidikan yang mereka kecam ini.

Saya teringat kata-kata seorang pengetua - "my core business is teaching".


Selamat Hari Guru 2009 - Guru Pembina Negara Bangsa
http://www.moe.gov.my/hariguru


-rentaka : teringat cerita Cikgu Limau Kasturi...
.