Kementerian Pelajaran Malaysia memandang serius terhadap keperluan menyediakan guru-guru yang berkualiti tinggi. Oleh itu, terdapat pelbagai program yang telah dan sedang dijalankan menuju matlamat tersebut. Dengan kata mudah, secara peribadi, saya menggelar program ini sebagai ;
1. Men'guru'kan siswazah - Program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI)
2. Men'siswazah'kan guru - Pelbagai Kursus Sepenuh Masa atau PJJ
3. Men'guru siswazah'kan pelajar - Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP )di IPG
Ketiga-tiga program di atas bagi saya bagus. Ia menuju matlamat yang sama. Di kampus, ketiga-tiga kumpulan ini bertembung. KPLI dengan pengalaman di universiti, guru dengan pengalaman di sekolah dan pelajar PISMP yang sentiasa bersedia untuk menimba pengetahuan serta membina pengalaman.
Sebenarnya proses menjadikan seseorang kepada manusia bergelar guru amat kompleks. Tanpa disedari, seseorang itu akan secara perlahan-lahan akan belajar untuk mengajar. Penekanan nilai dan sikap secara tidak langsung dalam kuliah dan aktiviti akan menjadikan mereka lebih bersedia untuk bergelar pendidik. Untuk makluman, proses transformasi dari seorang pelajar kepada seorang guru berijazah mengambil masa 5 1/2 tahun. 5 1/2 tahun berada di maktab (kini digelar IPGM - Institut Perguruan Guru Malaysia) bukan tempoh yang singkat. Pelbagai proses dan latihan akan dilalui mereka agar mudah bersosialisasi ketika berada di sekolah.
Bagi program KPLI, ia pernah dipertikai oleh guru-guru sendiri apabila wujud golongan yang menjadi guru hanya kerana tiada kerja. Namun, keadaan ini semakin terhakis apabila KPM melalui Bahagian Pendidikan Guru (BPG) semakin ketat menapis permohonan siswazah menjadi guru. Jika seseorang itu hanya memohon KPLI hanya kerana mengejar gaji yang lumayan serta pencen, memang akan terasa beban. Minat dan dedikasi terhadap tugas seorang guru amat penting. Tugas guru tidak tehad kepada mengajar, tetapi mendidik. Tempoh 1 tahun di maktab (termasuk cuti dan latihan mengajar) hanya cukup untuk menyediakan mereka bergelar guru, bukannya pendidik.Fikirkanlah...
KPM juga serius dengan matlamat untuk mencapai 50% guru di sekolah rendah adalah berijazah menjelang tahun2010. Hanya 7 bulan lagi untuk menjejak 2010. Adakah telah tercapai? Jawapannya hampir tercapai. Walaupun belum berijazah, hampir 80% guru sekolah rendah dalam proses ke arah tersebut.
Harapan anak bangsa menggunung terhadap seorang guru. Guru diibaratkan lampu jalan, menerangi kegelapan perjalanan seorang manusia menuju dewasa dan kematangan. Sepanjang perjalanannya, lampu-lampu jalan ini akan sentiasa bergilir-gilir membantunya bergerak dengan lancar. Jangan bimbang, kerana kerajaan telah membayar bil lampu jalan tersebut. Apa yang penting, manusia itu jangan berhenti melangkah sehingga tiba ke destinasinya.
Buat guru-guru, ingatlah, panggilan keramat 'CIKGU', akan kekal walaupun jasad dan nyawa telah terpisah...
Terima kasih cikgu,
Selamat Hari Guru 2009 - Guru Pembina Negara Bangsa
http://www.moe.gov.my/hariguru
rentaka : saya pernah membaca ulasan pembaca buku tulisan Allahyarham Cikgu Dato' Haji Razali Bin Ismail, bekas Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, bertajuk "Menjejaki Wira yang Tidak Disyairkan". Tulisan Allahyarham mengenai perjuangan dan ketulusan hati serta budi guru-guru di pedalaman Sarawak. Allahyarham menulis berdasarkan lawatannya ke sekolah-sekolah pedalaman Sarawak pada 28 Julai hingga 1 Ogos 2008. Allahyarham menyusuri sungai yang terkenal dengan mitos 'Bujang Senang', melalui denai-denai hutan, hanya kerana ingin mengucapkan "terima kasih cikgu" kepada guru-guru di pedalaman Sarawak. Hidupnya sebagai seorang guru, jiwanya tersemat jiwa guru dan matinya sebagai pemimpin golongan guru. Al Fatihah buat Allahyarham.
.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan