05 Mac 2009

Catatan 11: Rotan vs Didik

Apabila isu pendidikan dimainkan, sekali lagi isu rotan berlingkar di minda. Saya cuma ingin berkongsi pengalaman saya semasa mengajar di sebuah sekolah kampung tradisional di Pahang ini.


Pengalaman 1

Selepas acara sambutan hari guru, ketika berehat, seorang ibu kepada murid saya, datang bertemu saya. Mengucapkan terima kasih kerana mendidik anaknya. Saya terharu kerana ada juga ucapan dari penjaga. Apa yang lebih saya terharu apabila dia menuturkan ayat ini;

"
Cikgu didiklah anak saya itu macam anak cikgu sendiri. Kalau dia buat salah, cikgu rotanlah dia. Saya redha. Jangan patah, jangan buta, sudahlah. Kalau tak berjaya dalam pelajaran pun, biarlah dia berjaya dalam hidup dia. Ubah hidup kami yang miskin ni..."

Bergenang air mata jantan saya ketika itu. Ibu tersebut ikhlas ketika menutur ayat di atas. Saya terkesima. Apatah lagi dia adalah ibu tunggal. Alhamdulillah, anaknya memang murid yang mendengar kata, hormatkan guru. Hari ini, dia sudah menjadi anak yang berguna kepada keluarga dan mengambil alih peranan ketua keluarga.


Pengalaman 2

Saya mengajar subjek Matematik. Ketika itu saya tinggal di rumah guru di belakang sekolah tersebut. Seorang bapa bertemu saya berbincang tentang anaknya yang lemah dalam subjek Matematik. Dia memang saya akui garang.

Akhir perbincangan dia sendiri yang buat keputusan. "Mulai sekarang, cikgu tak payah tanda kertas ujian anak saya. Biar saya sendiri yang semak dan tanda."

Apabila ujian penggal, malamnya, bapa tersebut akan datang ke rumah guru yang saya tinggal. Membawa anaknya yang saya ajar, bersama rotan. Dia menanda kertas Matematik anaknya sendiri. Saya cuma perlu beritahu sama ada jawapan anankya itu betul, salah atau tak cukup markah. Setiap kali salah atau tidak cukup markah, sekali rotan akan dilibas ke tubuh anaknya. Saya terkejut! Bayangkan jika berturutan jawapan yang salah atau tak cukup markah. Lembik anaknya dilibas rotan. Berjalur tubuh anaknya yang ketika itu darjah 4.

Saya fikirkan ia cuma sekali berlaku. Rupanya berlaku setiap kali ujian penggal. Peristiwa sama berulang. Namun, berkat rotanlah anaknya yang dalam kategori C dalam Matematik akhirnya berada dalam kumpulan A ketika di tahun 6. Masuk pula ke Kelas Rancangan Khas ketika di tingkatan satu.

**************

Dua peristiwa di atas yang berkaitan rotan memberikan kesan yang mendalam kepada jiwa saya. Betapa sebuah sekolah di sebuah kampung tradisional, amat mementingkan pendidikan anak-anak mereka. Saya cuba sedaya upaya memberikan yang terbaik kepada mereka. Saya juga bangga kerana kebanyakan mereka telah berjaya dalam hidup mereka...

2 ulasan:

  1. jika semua ibubapa bersikap sedemikian rasanya susah nak cari murid yang gagal.

    tapi yang biasa kita dengar ibubapa datang menyerang cikgu disekolah kerana anak kena rotan.

    nak kata rotan untuk jadi anak2 cerdik pun tak kena jugak.ramai jugak yang tak kena rotan disekolah mahu pun dirumah boleh jadi cerdik.

    nak kata rotan boleh menghentikan sikap degil anak2 pun tak kena juga,makin degil lagi ada....

    bagi saya sikap dan perhatian ibubapalah yang banyak membantu juga merupakan peranan penting dalam pembentukan minda serta sikap anak2. disamping di sekolah guru2 memberi bimbingan,didikan serta tunjuk ajar.

    BalasPadam
  2. Sdr Jai,

    Rotan hanya alat. Apa yang lebih penting ialah didikan dan bimbingan yang diberikan kepada anak bangsa kita.

    Ramai juga yang tidak pernah dirotan telah berjaya. Namun, setelah berjaya, mereka mengandaikan sikap anak mereka seperti sikap mereka ketika kecil. Tidak perlu dirotan. Natijahnya, mereka inilah yang selalu menyerang sekolah.

    Bagi kami guru mudah. Jangan sampai tahap kami biarkan sahaja apa berlaku, tanpa tindakan. Apabila guru kecewa, banyak buruknya. Niat ikhlas ingin membetulkan jika disalah anggap, kesannya lebih buruk.

    .

    BalasPadam