06 Februari 2009

Catatan 5 - ETeMS

Mungkin ramai yang kurang mengerti bila disebut ETeMS. Ia sebenarnya adalah PPSMI atau Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Dikalangan mereka di bidang pendidikan, akronim ETeMS lebih banyak digunakan.

Saya sendiri memiliki sijil kelayakan mengajar ETeMS yang dikeluarkan oleh Bahagian Pendidikan Guru - BPG pada tahun 2003. Ketika itu, saya masih seorang guru. Untuk menjadi guru ETeMS, bukan mudah. Kursus harian 3 hari seminggu selama hampir 3 bulan. Di ikuti kursus berpusat beberapa kali, dengan setiap satu kursus berpusat selama seminggu. Kemuncak, ujian. Tapi banyak yang saya lupa kerana sudah lama dan saya pun sudah 3 tahun tak mengajar di kelas, bertugas di pejabat.

Melalui kursus, memang sukar. Fasilitator sememangnya betul-betul menyediakan guru ETeMS yang berkualiti. Habis kursus, layak mengajar kelas yang ada ETeMS. Dapatlah extra 10% tambahan gaji apabila ada sijil.

Pengalaman saya berhadapan dengan ETeMS, saya tidak nampak apa masalahnya. Cuma perubahan istilah. Namun, jika istilah itu sudah dipupuk sejak darjah 1, malah di Prasekolah, murid dah biasa. Mereka lebih selesa menyebut one, two, three, plus, minus berbanding satu, dua, tiga. Ini kerana di sekolah, kami ada cara. Ada kaedah. Insya-Allah, murid-murid boleh belajar dengan selesa.

Pengalaman menarik ketika saya terlibat dalam penggambaran video pengajaran seorang guru yang akan bersara. Tahun 2008. Kelas Matematik yang dipilihnya memerlukan dia mengajar dalam bahasa Melayu, seperti yang ditulis dalam skrip. Ketika mengajar, tiada respon dari murid. Penggambaran video terpaksa dihentikan. Rupanya murid tahun 6 tersebut tidak memahami istilah Matematik dalam Bahasa Melayu setelah 6 tahun belajar dalam Bahasa Inggeris. Saya melihat ia satu kejayaan kerana murid berjaya menguasai semua perkara dalam ETeMS.

Untuk menjayakan ETeMS, selain berkursus, kerajaan melabur lagi dalam menyediakan kemudahan ICT. Walaupun kualiti perkhidmatan yang tidak sepadan dengan nilai yang dibayar, guru-guru bersyukur kerana wujudnya kemudahan seperti ini. Kini hampir semua guru ETeMS ada laptop, hampir semua kelas ETeMS ada skrin dan LCD Projektor. Selain itu, kualiti pengetahuan guru dalam bidang ICT dan teknologi pendidikan semakin meningkat.

Sebagai pegawai yang perlu sentiasa memantau media teknologi pendidikan, saya berharap penggunaan peralatan media ICT dalam ETeMS perlu ditingkatkan. Biar rosak kerana kerap digunakan, bukannya rosak kerana tidak digunakan. Penggunaannya walaupun ada kalanya bukan tujuan untuk ETeMS, asalkan demi kebaikan murid, apa salahnya. Secara jujur, saya pernah melihat laptop yang digunakan bagi tujuan bukan pendidikan. Malah, saya pernah melihat LCD projektor KPM digunakan dalam satu majlis anjuran parti politik. Laptop dan LCD projektor KPM ada lambang Kerajaan Malaysia atau KPM - Kementerian Pelajaran Malaysia di paparannya.

Setelah 6 tahun ETeMS berjalan, kenapa wujud polemik? Kenapa sekarang? Kenapa bukan tahun 2003 dahulu? Kenapa mahu dihentikan?

Bahasa Melayu tetap dijulang. ETeMS hanya satu istilah. Masih ramai guru yang mengajar ETeMS dalam Bahasa Melayu, tetapi istilah tetap Bahasa Inggeris. Ambil contoh berita di TV. Kenapa masih wujud berita Inggeris, Tamil, Mandarin? Jika betul nak julang Bahasa Melayu, biar semua tengok dan dengar berita Bahasa Melayu. Malah ramai rakyat Malaysia yang lebih suka guna Bahasa Inggeris. Lihat telefon bimbit anda, BM atau English? Komputer yang anda sedang gunakan untuk membaca blog ini, paparan BM atau English? Kita masih Melayu, Masih menjulang Bahasa Melayu. ETeMS hanya istilah, bukan nak tukar bangsa dan bahasa rasmi kita.

Saya berharap isu ETeMS dapat diselesaikan secepat mungkin. Jangan kita korbankan nasib murid-murid kita hanya kerana pendirian dan matlamat perjuangan kita. Sudah-sudahlah...

6 ulasan:

  1. salam saudara/i Rentaka,

    tak kira lah PPSMI ke ETeMS ke bagi Budak Cenor pembelajaran b.inggeris sangat penting. kita seharusnya mengakui b.inggeris merupakan bahasa ilmu yang perlu dipelajari dengan mahir oleh setiap anak melayu. adakalanya istilah-istilah yang terdapat dalam b.inggeris tidak dapat diterjemah sepenuhnya ke bahasa melayu.

    sebagai contoh:

    Beginilah akibatnya istilah-istilah komputer diterjemahkan ke dalam b.melayu:

    Istilah
    Hardware: barang keras
    Software: barang lembut
    Joystick: bahagia
    Plug and Play: cucuk dan main
    Port: lubang
    Server: pelayan
    Client: pelanggan

    Contoh
    "That server gives a plug and play service to the clients using either hardware or software joystick. The joystick goes into the port of the client."

    Terjemahan:"Pelayan itu memberi pelanggannya layanan cucuk dan main dengan mempergunakan bahagia jenis keras atau lembut. bahagian itu dimasukkan ke dalam lubang pelanggan."

    kan ke buruk benar tu...

    ini baru bab terjemahan. belum kita masuk bab pembentangan kertas kerja sebagai speaker diluar negara. kenapa org2 cina turut menentang PPSMI? senang je jawapannya. sebab org2 cina berkemampuan untuk menghantar anak2 dia org untuk belajar kelas tambahan atau tuisyen b.inggeris. satu cara untuk memperbodohkan melayu adalah dengan menentang PPSMI. biar anak melayu bodoh b.inggeris. panjang cerita....

    wassalam,

    Budak Cenor

    -BC tetap sokong PPSMI ini diteruskan

    Rentaka, blog ni tak brape aktif lah penyertaan. plz do something bcoz u'r posting is good to read

    BalasPadam
  2. Terima kasih Budak Cenor,

    Pertama, saya adalah saudara, bukan saudari.

    Kedua, terjemahan istilah itu tidak berapa tepat dalam konteks ICT. Dalam pengajaran, istilah seperti itu membahayakan pemikiran murid.

    Ketiga, saya membuat blog ini untuk mendekatkan masyarakat dengan dunia pendidikan hari ini. Saya kini bukan lagi guru, tapi menjawat sebagai pegawai yang bertanggungjawab dengan teknologi pendidikan. Teknologi pendidikan hari ini berbeza dengan teknologi 5 tahun dulu, apatah lagi 10, 15 atau 20 tahun dulu. Ramai ibu bapa kurang faham isu pendidikan.

    Keempat, saya terpaksa berhati-hati ketika menulis, bimbang melanggar etika penjawat awam. Apatah lagi, saya sudah terbiasa memberi ceramah dalam bidang teknologi pendidikan dan ICT, jadi bimbang ayat dalam blog ini digunapakai sebagai pandangan rasmi organisasi saya. Banyak dasar dan perancangan kerajaan yang tak dapat saya dedahkan sebegitu sahaja.

    Kelima, saya lebih suka menulis tentang isu pendidikan semasa. Tetapi sekarang agak sepi dengan isu. Tunggulah, saya cari isu yang sesuai. Mungkin selepas saya pulang dari mesyuarat penyelarasan yang sedang belangsung selama seminggu di Kuantan ini.

    Keenam, tentang PPSMI, saya bersetuju PPSMI diteruskan. Ini pandangan peribadi saya, bukan organisasi saya. PPSMI hanyalah penggunaan istilah English dalam Matematik dan Sains. Itu sahaja. Tak wujud masalah hilang arah budaya Melayu atau tiada martabat Bahasa Melayu. Saya adalah guru kelahiran maktab perguruan dalam bidang Matematik dan Sains. Saya tahu apa yang berlaku.

    Terima kasih kepada semua pembaca. Jika ada pendapat atau pertanyaan dalam bidang pendidikan, komenlah di sini.

    Terima kasih.
    rentaka

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum,

    Saya seperti saudara juga, malah saya generasi pertama guru PPSMI ini. Berkursus dlm cuti sekolah- termasuklah berkursus ketika Syawal berbaki beberapa hari saja lagi semata-mata utk mengejar pelaksanaan PPSMI tahun 2003. Dan saya juga tahu apa yg berlaku.

    Berbeza dgn saudara, mungkin saya guru yg tidak bagus jadi anak didik saya nampak bermasalah dlm PPSMI ini. Saya tidak sembunyikan rasa tidak setuju saya tentang PPSMI ini.

    Jika mahu meningkatkan penggunaan B.Inggeris, apa salahnya ditambahkan saja masa masa p&p BI ini. Lebih adil dan lebih selamat kerana diajar oleh guru yg berkelayakan berbanding guru seperti saya yg akan melahirkan murid yg menggunakan bahasa rojak campuran BI dan BM kerana saya tidak berkelayakan.

    Dan sekiranya murid hanya menguasai istilah, adakah tercapai matlamat meningkatkan penguasaan BI di kalangan rakyat? Pada pendapat saya, saya setuju sekiranya ditambah subjek BI Komunikasi di sekolah untuk meningkatkan penguasaan dan komunikasi BI di kalangan pelajar. Bukankah itu matlamat asal PPSMI?

    Berkaitan komen budak cenor, nampaknya dia menterjemah mengikut akal sendiri. Hardware- cakera keras, software- perisian dan pendek kata org DBP dan Institut Terjemahan telah menterjemah sesuatu perkataan luar mengikut konteks- bukan bulat2.

    BalasPadam
  4. Waalaikummusalam,

    keretalembu,

    Terima kasih kerana sudi singgah di sini. Setiap guru / pendidik ada pandangan masing-masing berkaitan PPSMI. Apapun, kita hanyalah pelaksana dasar yang ditetapkan. Tiada guna kita menentang arus, kerana kita takkan menang.

    Sama ada PPSMI dihentikan atau diteruskan, bagi saya yang lebih penting, pandangan dan suara golongan pelaksana dasar ini perlu diambil kira. Jangan kita hanya berpaksi kepada sentimen politik dan dendam kesumat yang tiada kesudahan.

    Setelah dimulakan, kos berjuta ringgit, kini kita berdepan polemik mendesak PPSMI dihentikan. Entahlah, suara golongan pelaksana dasar seperti ini mampukah tiba ke telinga pembuat dasar...

    Sudah-sudahlah. Buatlah keputusan segera...

    BalasPadam
  5. Assalamualaikum,

    Saya sedang surf mencari cerita-cerita tentang guru-guru "Wira yang tidak disyairkan" langsung terjumpa blog saudara.

    Pertamanya, saya ingin mengucapkan tahniah atas usaha gigih saudara berkongsi pengalaman dan juga pandangan tentang isu pendidikan.

    Cuma saya ingin perbetulkan tanggapan bahawa PPSMI ialah ETeMS dan ETeMS ialah PPSMI.Seringkali guru beranggapan PPSMI ialah nama program dalam bahasa Melayu dan ETeMS ialah nama PPSMI dalam bahasa Inggeris. Itu adalah salah.

    Sebenarnya PPSMI dan ETeMS ialah dua program yang berbeza.

    PPSMI = (P)engajaran dan (P)embelajaran (S)ains dan (M)atematik dalam bahasa (I)nggeris

    ETeMS = (E)nglish for (Te)aching (M)aths and (S)cience

    Dari segi pelaksanaannya, PPSMI adalah diterajui oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) yang bertanggungjawab bangunkan silibus subjek PPSMI ini.

    Manakala ETeMS pula diterajui oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG)

    Dari sudut konsepnya, PPSMI ialah satu program atau polisi drp KPM untuk mengajar Sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

    Manakala ETeMS pulak ialah satu program LATIHAN kepada guru-guru Sains, Matematik dan juga Bahasa Inggeris. Matlamat ETeMS ialah memahirkan guru sains dan maths untuk menggunakan English dalam P&P mereka, selain itu, sebilangan guru English sedia ada juga ada diberi pendedahan bagaimana mengajar sains dan maths.

    So, semoga tidak lagi berlaku salah faham tentang PPSMI dan ETeMS ini pada masa hadapan.

    Terima kasih.

    BalasPadam
  6. Sdr Kirawang,

    terima kasih atas kunjungan...
    terima kasih juga atas penerangan...

    BalasPadam