25 Februari 2009

Catatan 8 : Peningkatan Ilmu

Hari ini merupakan hari ketiga saya berada di salah sebuah kampus cawangan untuk melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi. Insya-Allah, saya akan berada di sini selama 3 bulan sehingga penghujung Mei 2009 sebagai persediaan sebelum meneruskan ke program PJJ Sarjana Muda.

Melihat di kampus ini, ingatan saya kembali setelah 10 tahun meninggalkan kampus semasa menuntut di peringkat Diploma dahulu. Kembali tinggal di asrama dengan peraturannya, kembali membuat tugasan daripada pensyarah, kembali duduk di bilik kuliah dan kembali makan mee segera kerana malas hendak ke kafeteria.

Masih teringat ketika zaman kuliah terdahulu, kebetulan ketika itu di Kuala Lumpur. 1997 - 2000. Zaman panas politik. 1998 - pemecatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu. Reformasi di sana sini. Kebetulan, kampus saya berada disebelah hospital yang merawat bekas TPM ketika itu yang sakit pinggang. Tak dapat dilupakan, helikopter polis berkeliaran sepanjang masa. Pantang ada yang duduk dalam kumpulan, akan disuluh dengan lampu sorot helikopter, termasuk pelajar kampus saya. Ceramah politik merata-rata. Pelajar kampus saya turut serta atas dasar ingin tahu, kerana kami dilarang berpolitik. Apatah lagi kehadiran kami ke ceramah di awasi pensyarah yang menjadi "mata-mata gelap".

Kebetulan, kini, ketika saya ingin menyambung ke peringkat Sarjana Muda, politik juga panas. Panas kerana TPM yang dipecat suatu hari dulu, telah bebas dan mula memasang strategi untuk berkuasa di Putrajaya dan Parlimen. Cuma hari ini di sini, semua tak berminat untuk bercakap tentang politik kerana lebih fokus kepada pembelajaran. Apatah lagi tidak mengetahui rakan kita adalah penyokong parti politik yang mana.

Selama 3 bulan ini, Insya-Allah saya akan terus menulis demi kebaikan sistem pendidikan negara kita. Saya sedar, suara golongan "pelaksana dasar" ini jarang akan didengari oleh "pembuat / penggubal dasar". Namun, sekurang-kurangnya, kita berada dalam satu kapal yang sama, kapal yang membawa bersama harapan 6 juta orang murid-murid sekolah di Malaysia. Kemudilah kapal ini sebaik / secemerlang mungkin, hingga tiba dipelabuhan seterusnya. Apa jua rintangan dan cabaran, selesaikanlah dengan penuh hikmah.

Pelbagai isu pendidikan masih belum selesai terutama polemik PPSMI. Kini, pelbagai pihak semakin berani menentang dasar kerajaan kerana mereka rasa akan dapat faedah apabila menonjol. Nasib 6 juta orang tadi dikesampingkan. Keuntungan peribadi diutamakan. Oleh itu, susah-sudahlah. Cukup-cukuplah. Jangan politikkan sistem pendidikan kita...

Buat semua, dengan memberi pandangan bukan bermakna saya menentang atau menderhaka...

2 ulasan:

  1. tahniah,
    suara guru dan murid perlu di dapatkan oleh penggubal dasar ini sebelum ianya di hentikan atau di ubah. 2 suara ini perlu didengari kerana merekalah yg terlibat secara langsung.jangan ada yg nak cari populariti atau buat muka tak malu nak naikkan saham parti atau diri sendiri.selamat belajar.

    BalasPadam
  2. Saudara kepang chenor,

    Terima kasih atas ucapan tahniah.

    Memang saya kecewa kerana suara pelaksana dasar ini tidak pernah didengari oleh penggubal dasar. Tapi, apa boleh buat... SYMP...

    BalasPadam