Saya menulis tentang isu ini kerana dicetuskan oleh pensyarah saya pagi tadi. Dalam kuliahnya, pensyarah tersebut ada membangkitkan bagaimana guru boleh meramal (target) pencapaian muridnya untuk UPSR sedangkan aplikasi statistik sebenar tidak digunakan. Baginya, guru begini adalah
"guru yang tak berguna" dan patut di hantar ke
Ulu Tembeling.
Saya tidak tahu pensyarah bertaraf Phd tersebut pernah menjadi guru sekolah rendah ataupun tidak. Untuk membuat unjuran ramalan pencapaian, biasanya sekolah menggunakan TOV sebagai satu petunjuk dan keputusan murid sentiasa dipantau dan perbaiki dalam setiap penilaian atau peperiksaan percubaan UPSR. Guru juga menggunakan pemerhatian 5 tahun terhadap murid tersebut selain perkembangan murid dalam kelas.
Berbalik kepada isu, adakah sekolah-sekolah pedalaman hanya layak menerima "guru yang tak berguna". Benarkah wujud kelompok guru yang tak berguna ini?
Di Pahang, ada sebilangan sekolah yang sukar dicapai kerana keadaan muka bumi. Sekolah-sekolah berkenaan berada di Pedalaman Lipis, Pedalaman Cameron Highlands, Pulau Tioman, Kuala Tahan dan Pedalaman Bera.
Sepanjang bertugas, saya pernah beberapa kali ke sekolah pedalaman, sama ada melalui jalan denai, jalan balak , menyusuri sungai atau meredah ombak. Kehadiran saya adalah kerana pebagai program terutama sebagai jurugambar rasmi lawatan kerja pegawai tertinggi KPM.
Paling kerap, sekolah-sekolah di lembah Kuala Tahan. Di situ terdapat sebuah sekolah rendah iaitu SK Kuala Tahan. Menyusuri sungai dengan bot kecil selama 1 jam boleh sampai ke SK Kampung Pagi, kemudian 1 jam lagi, akan tiba di SK Kuala Sat. Menambah 3-4 jam lagi perjalanan bot, akan tiba di SK Ulu Tembeling. Jika terus ke atas, menyusuri sungai 1 jam lagi akan tiba di SK Gusai dan SK Mat Daling.
Saya juga pernah mengikuti lawatan pegawai KPM di Pulau Tioman. Bermula di tempat penginapan di Salang, kami meredah ombak selama 1 jam dengan bot kecil di lautan terbuka untuk ke SK Juara (berada di sebelah timur Tioman - menghadap lautan antarabangsa). Kemudian kami meredah ombak lagi untuk ke SK Mukut yang berada di selatan Tioman. Akhirnya, berada kami di SK Tekek, bandar kecil untuk pulau ini. Lencun baju dengan tempias ombak yang memercik kedalam bot.
Melalui pemerhatian saya, guru-guru di pedalaman amat dedikasi dan komited dengan tugas mereka. Ini kerana mereka tinggal dalam persekitaran kampung itu sendiri dan biasanya dilayan bagai "bakal menantu". Di kawasan sebegini, sekolah adalah medan utama untuk pelbagai aktiviti. Tidak hairanlah, aktiviti kampung di buat di sekolah dan aktiviti sekolah dipenuhi orang kampung.
Jika sekolah-sekolah ini menjadi "
recycle bin" bagi guru-guru yang tak berguna, bagaimana mereka mahu berkhidmat? Sepanjang pengalaman saya, jika guru-guru yang tak berguna ini di hantar ke kawasan pedalaman seperti ini, mereka tidak akan pergi melapor diri. Hanya guru yang benar-benar komited terhadap profesion mereka akan hadir dengan membawa bersama mereka angin pembaharuan dan kemajuan kepada anak-anak pedalaman ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri komited untuk merapatkan jurang pendidikan antara bandar, luar bandar dan pedalaman. Tidak hairanlah, sekolah-sekolah pedalaman sentiasa menjadi perhatian KPM dan agensi-agensi tertentu untuk di beri bantuan. Kemudahan seperti perpustakaan yang lengkap (ada sekolah pedalaman yang nisbah buku - seorang murid = 100 buku) dan capaian internet melalui perkhidmatan schoolnet (satelit). Selain itu, bantuan agensi swasta dan NGO sentiasa mencurah-curah ke sekolah-sekolah ini.
KPM juga menyediakan intensif khas kepada guru-guru pedalaman. Mereka dibayar elaun pedalaman (berdasarkan jarak). Mereka juga diberi keutamaan untuk menyambung pengajian dan pelbagai intensif lain.
Oleh itu, saya tidak faham kenapa seorang yang bergelar doktor (Phd) boleh berkata demikian, seolah-olah menongkah arus kemajuan yang dibina KPM. Sudahlah begitu, menurutnya, sistem peperiksaan di negara ini rendah martabatnya. Baginya, sistem di negara-negara barat lebih bagus dan efisyen.
Apapun, buat guru-guru, teruskan usaha murni anda semua. Abaikan mereka yang gemar memperlekehkan pendidikan di negara sendiri. Malah, mereka yang hebat juga lahir dari sistem pendidikan yang mereka kecam ini.
Saya teringat kata-kata seorang pengetua -
"my core business is teaching".Selamat Hari Guru 2009 - Guru Pembina Negara Bangsahttp://www.moe.gov.my/hariguru-rentaka : teringat cerita Cikgu Limau Kasturi...
.